default_mobilelogo

logologo

Warga Emas

  1. Program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help)
  2. Perkhidmatan Warga Emas
  3. Pusat Aktiviti Warga Emas

 

Program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help)

 

Khidmat Bantu Di Rumah merupakan satu program yang memberi khidmat sokongan kepada warga emas terutama bagi mereka yang tinggal bersendirian semasa ketiadaan ahli keluarga di rumah. Program ini merupakan perkhidmatan yang bercorak pendampingan sosial (social outreach) kepada warga emas yang mana pekerja kes pergi ke rumah warga emas tanpa perlu menunggu mereka mendekati pekerja kes untuk memohon pertolongan.

Pekerja kes yang melaksanakan program ini adalah dalam kalangan sukarelawan yang dilatih dan melaksanakan tugas mereka berdasar konsep dan prinsip kesukarelaan. Khidmat bantu di rumah ini juga merupakan program yang berkonsepkan kebajikan sebagai tanggungjawab bersama yang mana penglibatan semua pihak diperlukan untuk menjayakannya.

Program Khidmat Bantu Di Rumah adalah amat diperlukan oleh warga emas bertujuan untuk :
• memberi bantuan dan sokongan kepada warga emas menjalani kehidupan seharian mereka dengan lebih selesa, dihormati dan tidak merasai diri mereka disisihkan;
• memberi bantuan dan sokongan kepada keluarga yang menjaga warga emas supaya terus mengambil tanggungjawab menjaga dan melindungi ahli keluarga yang tergolong sebagai warga emas;
• menggerakkan peranan masyarakat dalam usaha membantu warga emas atau keluarga yang menjaga warga emas selaras dengan konsep masyarakat penyayang; dan
• menggalakkan warga emas terus tinggal di kediaman masing-masing dan hidup dalam suasana kekeluargaan dan masyarakat.

 

Perkhidmatan Warga Emas

 

 

Definisi Warga Emas

 

Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan yang dibuat di "World Assembly On Ageing 1982" di Vienna.

 

Perkhidmatan Luar

 

Perkhidmatan yang disediakan untuk golongan ini ialah:

Bantuan Kewangan
Bantuan Alat Tiruan/Sokongan
Pusat Aktiviti Warga Emas
Unit Penyayang Warga Emas
Bantuan Kewangan

Bantuan Orang Tua (BOT) yang diberikan RM300 sebulan seorang sebagai saraan hidup kepada warga emas yang memerlukan bantuan supaya terus tinggal dalam komuniti

 

Kelayakan Bantuan:

 

 

berumur 60 tahun ke atas;
tiada sumber pendapatan untuk menyara hidup; dan
tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan.
Cara Pemohonan

Permohonan boleh dibuat dengan hadir terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Biahagian di mana pemohon tinggal. Sekiranya pemohon menghadapi kesukaran untuk hadir ke pejabat, permohonan boleh dibuat menerusi surat, telefon atau email. Senarai alamat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian yang boleh dihubungi ada disediakan di bahagian Direktori di portal web ini.

Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon boleh membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian seperti salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), gambar berukuran passport dan dokumen sokongan lain (jika ada).

 

Bantuan Alat Tiruan

 

Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT / AS)

 

Membantu OKU yang tidak berkemampuan untuk membeli peralatan seperti kaki palsu, tangan palsu, callipers, tongkat tangan / ketiak, kerusi roda, alat pendengaran, cermin mata khas, kasut khas dan peralatan lain yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan.
Membolehkan OKU meningkatkan keupayaan dan seterusnya menjalani kehidupan tanpa sepenuhnya bergantung kepada orang lain.
Perkhidmatan Institusi

Desa Bina Diri (DBD)
Rumah Seri Kenangan (RSK)
Rumah Ehsan (RE)

 

Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan

 

Hari Warga Emas Kebangsaan
Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Resolusi No. 45 / 106 mengistiharkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa. Kerajaan Malaysia mengistiharkan 1 Oktober setiap tahun mulai 1992 sebagai Hari Warga Emas Kebangsaan.

 

Akta Berkaitan:

 

Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183)
Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506)
Dasar / Pelan Yang Berkaitan:

Dasar Warga Emas Negara
Pelan Tindakan Dasar Warga Emas Negara
Kaedah Berkaitan:

Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983
Kaedah-Kaedah (Rumah Kebajikan) Orang-Orang Papa 1981
Kaedah-Kaedah Rumah-Rumah Pesakit Melarat 1978

 

Pusat Aktiviti Warga Emas

 

Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) merupakan khidmat yang bercorak pendampingan sosial (reaching out) dan pembangunan (developmental) kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan lain serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Sebanyak 22 buah PAWE telah dibina di bawah RMK- 8 dan RMK-9 dengan melibatkan kos RM9 juta.Sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan Tahun 2012, Y.A.B Perdana Menteri telah meluluskan permohonan untuk penubuhan sebanyak 23 buah pusat PAWE yang baru di seluruh negara dan peruntukan bagi mewujudkan PAWE baru tersebut telah diumumkan melalui Ucapan Bajet 2013.

PAWE disasarkan kepada warga emas yang sihat dan dapat menguruskan diri. Bagi memastikan warga emas dapat berdikari dan berinteraksi sesama mereka dan masyarakat setempat, pelbagai aktiviti dan program telah disediakan di pusat berkenaan seperti program keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan dan latihan serta kursus yang bersesuaian.

Pautan

jkm2 kpwkmNEW jpw lppkn2 ISM2